Friday, September 19, 2008

Peralihan kuasa lebih awal: PM sedang perhati pandangan dan situasi semasa dalam parti


Peralihan kuasa lebih awal: PM sedang perhati pandangan dan situasi semasa dalam parti




































Sidang akhbar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di tingkat 39 Pusat Dagangan Dunia Putra petang Khamis berlangsung cuma tujuh minit sahaja.

Ini kerana beliau terburu-buru kena menghadiri majlis berbuka puasa di Dewan Merdeka di bawah.

Berita terbesar yang ingin dicari oleh para wartawan yang ramai datang membuat liputan tentunya apakah ada tarikh baru ditetapkan oleh mesyuarat selama dua jam itu terhadap pelan peralihan kuasa 2010 dari Perdana Menteri kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini berikutan kenyataan Abdullah Rabu bahawa ia mungkin dibuat lebih awal dari bulan Jun 2010 yang telah ditetapkan.

Soalan spesifik mengenainya tak sempat ditanya kerana kesuntukan masa tetapi Presiden UMNO itu telah ditanya sama ada beliau tetap akan bertanding mempertahankan jawatan Presiden UMNO.

Jawapan mengenainya penting kerana ia dapat memberi indikasi jelas tentang perubahan tarikh peralihan kuasa itu sama ada ia berlaku sebelum mesyuarat bahagian-bahagian UMNO bermula 9 Oktober ini atau selepasnya.

Ini berikutan ada pandangan yang mengatakan seeloknya Perdana Menteri membuat peralihan itu sebelum mesyuarat UMNO Bahagian bermula untuk mengelakan kemungkinan timbul senario ‘kurang selesa’ jika katakan ada UMNO Bahagian yang tidak mencalonkannya sebagai Presiden UMNO dan sebaliknya mencalonkan Najib atau orang lain.




Kalangan pemerhati politik tidak menolak kemungkinan itu kerana UMNO Bahagian bebas membuat pencalonan mengikut penilaian masing-masing.

Menjawab soalan berkenaan Abdullah membayangkan beliau tidak menutup pintu kepada pelbagai pandangan semasa mengenai kedudukannya.

Menurut Abdullah sebarang keputusan berkaitan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan juga peralihan kuasa akan dibuat oleh beliau sendiri dan selepas berbincang dengan Najib dan ia akan dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO.



"Sebab mesyuarat (bahagian) belum bermula lagi dan apa-apa yang perlu saya laksanakan, dan apa-apa tindakan yang akan saya buat sekali lagi ke, apa ke, itu terserah kepada sayalah.

"Saya akan cakap dengan Datuk Seri Najib, tak payah ulang-ulanglah," katanya.

Abdullah juga berkata isu pelan peralihan kuasa itu tidak dijelaskan semula dalam mesyuarat MT hari ini.




"Saya tidak beri penjelasan semula. Saya hanya kata yang saya sedar, saya sentiasa mendengar, saya sedang memberi perhatian kepada apa yang berlaku mengenai situasi sekarang ini dalam parti.

Agendadaily difahamkan dalam mesyuarat itu ramai kalangan ahli Majlis Tertinggi telah memberi pandangan mengenai soal peralihan kuasa.

Ikut ceritanya kebanyakan mereka mahu tarikh peralihan kuasa dipercepatkan. Ada juga yang berpandangan ia wajar dilakukan sebelum mesyuarat UMNO Bahagian bermula.




Sementara itu orang yang turut menjadi perhatian pada mesyuarat Majlis Tertinggi kali ini iaitu Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuat kenyataan di Singapura Rabu lalu meminta peralihan kuasa dipercepatkan ketika ditemui para wartawan memberitahu beliau telah memberi penjelasan kepada mesyuarat itu mengenainya.




Katanya. mesyuarat itu menerima penjelasannya .

"Saya ambil kesempatan (dalam MT UMNO hari ini) untuk memberitahu tentang kenyataan saya di Singapura dan kenyataan saya tentang parti sejak dulu. Saya jelaskan dan nampak tidak ada apa-apa perbahasan kerana saya jelaskan kenyataan ini adalah dengan niat baik untuk perbetulkan parti," kata Muhyiddin.


"Nampaknya Alhamdulillah... Presiden menerima dan tidak ada rakan-rakan saya yang mengkritik (penjelasan) biarpun sebelum ini ada yang kata macam-macam hal. Saya rasa syukur," katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata saranan beliau sebelum ini yang meminta Abdullah untuk menyegerakan proses peralihan kuasa adalah bagi memulihkan parti untuk persiapan pilihan raya akan datang dan mempertahankan kedudukan BN.

"Walaupun saya tegur kepimpinan Presiden, bukan ada tujuan atau muslihat (tertentu) kerana semua ini adalah untuk pastikan supaya UMNO khususnya BN terus dipercayai," katanya.

Mengenai proses peralihan kuasa di antara Abdullah dan Najib , Muhyiddin berkata beliau menyerahkan kepada Abdullah dan Najib untuk menentukan bilakah ia akan dilaksanakan.

"Tidak ada tarikh khusus, cuma kita beritahu tadi perasaan dan pandangan ahli parti yang di bawah yang mahu proses peralihan dibuat secepat mungkin. Kita beri ruang pada Presiden untuk berbincang dengan Najib," katanya.

Ketika ditanya mesej beliau terhadap anggota UMNO, Muhyiddin berkata: "Mereka harus teruskan macam biasa kerana tidak lama lagi bahagian akan bersidang di mana mereka ada hak untuk putuskan. Tunggulah apa yang akan diumumkan Presiden atau Timbalan Presiden."
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata soal sama ada mungkin peralihan kuasa akan berlaku lebih awal dari yang ditetapkan biarlah perkara ini ditentukan oleh Perdana Menteri dan timbalannya.- 18/9/2008





---------------------------


Langkah terbaru Pak Lah-Najib menjelang 2010…




Senario politik Malaysia ligat berputar kebelakangan ini.Setelah heboh kisah kerajaan 16 September dikira gone case isu apabila pekong dolak dalik Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenainya sudah jelas terserlah…kini peralihan kuasa dalam kepimpian UMNO sudah naik ke carta teratas.



Petang Rabu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengadakan sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya yang turut dihadiri oleh timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak dimana beliau membuat pengumuman yang dikira memperjelaskan keadaan tidak menentu berhubung isu berkenaan beberapa hari kebelakangan.

Ini ekoran kenyataan Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin di Singapura Rabu lalu yang mahukan proses peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib dipercepatkan dari Jun 2010.

Jumaat lalu Najib ketika menjawab soalan para wartawan mengenai kenyataan Muhyiddin itu berkata beliau menyerahkan kepada bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara yang akan bermesyuarat mulai 9 Oktober ini membuat pendirian masing-masing mengenainya.

Dalam langkah yang ditafsirkan oleh sesetengah pemerhati politik untuk letak Najib pada kedudukan sepatutnya menjelang pelan peralihan kuasa itu,Abdullah mengumumkan pertukaran jawatan antara kedua mereka.

Berkuatkuasa sertamerta Najib akan ambilalih jawatan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan manakala Abdullah pula akan ambilalih jawatan timbalannya sebagai Menteri Pertahanan.

Dalam sidang akhbar itu Abdullah juga umum beliau dan Najib akan tetap mengikut tempoh peralihan kuasa pada 2010 yang ditetapkan sebelum ini.

Bagaimanapun Abdullah kata beliau mungkin lepas jawatan lebih awal dari 2010 bergantung kepada prestasi Najib.

Katanya dalam pemilihan UMNO Disember ini kedua mereka akan pertahankan jawatan masing-masing sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

"Tempoh waktunya fleksibel. Ia mungkin jika saya mahu pergi lebih awal tetapi tidak melangkaui 2010," kata.

Menjawab soalan berhubung tempoh masa itu, Abdullah berkata: Ia boleh jadi di antara sekarang dengan Jun 2010."

Sambil menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin komited dengan pelan penyerahan, Abdullah berkata beliau akan mengekalkan kerusi Presiden UMNO manakala Najib mengesahkan bahawa beliau tidak akan mencabar Abdullah dalam pemilihan UMNO pada Disember.

Ketika ditanya lebih lanjut berhubung tempoh masa itu, Abdullah berkata: " Ia bukan untuk anda tanya dan untuk saya menjawab."

Abdullah berkata perkara itu akan diputuskan dengan sewajarnya apabila proses penyerahan mengambil tempat.

Sementara itu, Najib berkata beliau dan Perdana Menteri telah mencapai persetujuan seperti yang digambarkan oleh Abdullah.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap pelan peralihan kuasa itu dapat diterima oleh parti demi kestabilan negara dan keutuhan parti.

Ketika ditanya sama ada beliau (Najib) akan menerima sebarang pencalonan untuk jawatan Presiden, Najib berkata "kami telah sama-sama bersetuju dengan perkara itu. Kami serahkannya kepada parti. Kami telah menawarkan diri masing-masing, kami harap parti akan menerimanya," katanya.- 17/9/2008

---------------------------







Peralihan kuasa:Najib masih berpendirian seperti Jumaat




Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengulangi kenyataannya bahawa keputusan mengenai pelan peralihan kuasa itu sudah dipersetujui antara beliau dan Najib serta mendapat persetujuan dan pengiktirafan daripada pemimpin parti serta Kabinet.

Menurutnya rasional pelan itu diadakan bertujuan mewujudkan kestabilan politik dalam negara agar usaha dapat ditumpukan kepada memenuhi kemahuan rakyat iaitu pembangunan.

Bercakap kepada para wartawab selepas bermesyuarat dengan pemimpin kanan Khazanah Nasional di Kementerian Kewangan, di Putrajaya petang Jumaat beliau berkata situasi ketidakstabilan politik sebelum ini telah menyebabkan rakyat bosan kerana cerita politik tiada penghujungnya manakala para anggota Umno pula menjadi resah dan gelisah akibat tiada ketentuan dalam soal politik negara.

Oleh itu katanya tiada kewajaran pelan peralihan kuasa antaranya dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak dibangkitkan lagi kerana segala usaha sepatutnya ditumpukan kepada soal memenuhi kemahuan rakyat iaitu pembangunan.- 12/9/2008

--------------------------





Peralihan kuasa...terserah ahli tentukan




Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berpendapat, terserah kepada ahli-ahli UMNO untuk menentukan soal peralihan kuasa sama ada ia perlu disegerakan atau tidak.

Katanya, pelan peralihan kuasa 2010 telah pun dipersetujui di peringkat pimpinan tertinggi dan Majlis Tertinggi UMNO tetapi untuk menjayakannya ia terserah kepada ahli-ahli untuk membuat keputusan melalui Mesyuarat Agung UMNO Bahagian untuk menerima pelan peralihan kuasa berkenaan atau membuat pindaan terhadap cadangan tersebut.

Najib berkata demikian kepada para pemberita ketika ditanya mengenai kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan proses perlaihan kuasa disegerakan selepas merasmikan Persidangan Perniagaan China Guandong-Malaysia di Kuala Lumpur, pagi Jumaat.

Semasa membuat pengumuman pelan peralihan kuasa 2010 beberapa bulan lalu, Najib menyatakan beliau memaklumkan kepada kepimpinan UMNO Bahagian pada satu perjumpaan tertutup bagi menjayakan pelan itu, beliau berharap UMNO Bahagian akan mencalonkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden dan beliau sendiri sebagai Timbalan Presiden.

Berdasarkan kenyataan terbaru Najib ini dan merujuk kepada kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan proses perlaihan kuasa disegerakan, ini bermakna ahli-ahli UMNO boleh menyatakan sama ada mereka menerima pelan peralihan kuasa berkenaan atau mahukan perubahan terahdap cadangan tersebut.

Jika pencalonan terhadap Abdullah dan Najib dianggap penerimaan kepada pelan peralihan berkenaan maka pencalonan pemimpin lain atau usul agar pelan itu disegerakan, adalah merupakan hak ahli melalui Mesyuarat Agung Bahagian untuk memberikan pandangan mereka. - 12/9/2008

---------------------------





TERBARU: Muhyiddin pertahan kenyataan...itu suara ramai ahli UMNO dan komponen BN


Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan pendiriannya bahawa proses peralihan kuasa perlu disegerakan.

Serentak dengan itu, beliau menyatakan kesediaannya menghadapi sebarang risiko dan sanggup hadapi risiko berhubung kenyataannya itu. Katanya, beliau tidak gentar terima padah kerana menyuarakan apa yang ramai ahli UMNO dan parti komponen Barisan Nasional mahukan.

Bercakap kepda wartawan pada Persidangan Perniagaan China Guandong-Malaysia yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pagi Jumaat, beliau berkata, kenyataannya itu adalah pandangan ikhlas berdasarkan kepada pandangan dan pendapat umum.

Beliau tidak berniat untuk menyinggung Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi seseorang mesti berani menyuarakan yang benar, jelasnya.- 12/9/2008

-----------------------




Abdullah terkejut kenyataan Muhyiddin anggap peralihan kuasa terlalu lama

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau terkejut dengan kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rancangan peralihan kuasa pada 2010 adalah terlalu lama sedangkan, kata Perdana Menteri, pelan itu dipersetujui oleh kabinet dan Majlis Tertinggi Umno.

"Saya terkejut seorang anggota kabinet saya boleh membuat kenyataan seperti itu. Ia bercanggah dengan apa yang telah dipersetujui," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC di pejabatnya di Putrajaya hari Khamis.

Semalam Muhyiddin berkata di Singapura bahawa pelan peralihan kuasa itu telah "tenggelam" dan rakyat tidak lagi bercakap mengenainya.

Mengikut pelan itu, Abdullah akan menyerahkan kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, jawatan Perdana Menteri, pengerusi Barisan nasional dan Presiden Umno pada Jun 2010.

Bernama melaporkan Perdana Menteri berkata beliau masih lagi berkhidmat bukan untuk bersuka-suka memandangkan tugasnya itu bukan suatu yang boleh dianggap hanya untuk berseronok.

"Banyak soal politik, banyak masalah yang perlu ditangani dan banyak program yang saya perlu selesaikan," katanya.

Abdullah berkata ini termasuk pembaharuan membabitkan badan kehakiman, Badan Pencegah Rasuah dan polis.

"Pada masa yang sama, saya berjanji kita akan menghapuskan kemiskinan tegar," katanya.

Abdullah berkata beliau akan bekerja keras untuk mencapai semua itu, dan pada masa yang sama, berusaha membawa perubahan pada Barisan Nasional agar ia dapat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat. Bagi Umno, kata Abdullah, banyak lagi usaha yang perlu dilakukannya untuk membantu Najib mencapai matlamat semua program yang telah ditetapkan.

Ketika ditanya sama ada beliau akan meminta Muhyiddin memberi penjelasan berhubung kenyataannya itu, Perdana Menteri berkata : "Tak perlulah soal saya tentang apa yang saya nak buat."

Mengenai hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai semula Umno, beliau berkata perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu semalam.

"Pendapat saya seorang tak memadai, ini soal parti," katanya.

Dr Mahathir telah keluar Umno pada 19 Mei lepas kerana kecewa dengan kepimpinannya sekarang.- 11/9/2008




---------------------------------




Muhyiddin kata PM patut fikir semula tempoh masa pelan Peralihan kuasa




Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut fikirkan semula mengenai pelan peralihan kuasanya untuk mengundurkan diri menjelang 2010 kerana tempoh masa itu terlalu lama.

Pelan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Abdullah dua bulan lepas, dakwanya, telah "tenggelam" dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.

"Tahun 2010 adalah terlalu lama," katanya pada sidang akhbar pada acara tidak rasmi sempena Persidangan CEO Forbes Global di Singapura Rabu.

Di bawah pelan peralihan kuasa itu, Abdullah akan menyerahkan jawatannya sebagai perdana menteri, pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010.

Muhyiddin berkata beliau malahan turut bertanya kepada Najib sama ada dirinya mahu menunggu selama itu kerana beliau (Najib) akan hanya mempunyai masa yang singkat untuk menguruskan dan mengembalikan semula kenyakinan rakyat kepada Umno dan BN.

Bernama melaporkan sambil menyatakan yang beliau memang berfikiran kritis mengenai perkara itu kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Malaysia, beliau meminta Abdullah memikirkan semula mengenainya.

Abdullah berkata pelan peralihan kuasa itu demi untuk memperkukuhkan perpaduan Umno dan memudahkan anggota parti berikutan terlalu banyak permainan politik selepas pilihan raya umum lepas yang BN menang dengan majoriti mudah di Parlimen.

Ditanya mengenai spekulasi yang beliau akan bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah, masing-masing untuk mencabar bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno, Muhyiddin menjawab:"Seperti anda katakan, ia hanya spekulasi."

Spekulasi itu timbul ekoran pertemuan antara Muhyiddin dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di kediaman bekas perdana menteri itu di Cyberjaya Sabtu lepas, di mana Tengku Razaleigh juga hadir.

Pada pertemuan itu, Dr Mahathir juga menyuarakan hasratnya untuk menyertai semula Umno selepas keluar parti pada Mei lepas.

Muhyiddin berkata walaupun Dr Mahathir telah keluar Umno, beliau masih banyak bercakap mengenai parti itu, terutamanya mengenai cara untuk memperkukuhkannya dan mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti.

Beliau berkata ia merupakan satu langkah baik oleh Dr Mahathir dan percaya ia akan turut dialu-alukan oleh anggota Umno kerana ia akan membuatkan parti kembali bersemangat tinggi.

Bagaimanapun, setakat ini beliau tidak tahu reaksi Abdullah terhadap hasrat Dr Mahathir untuk menyertai semula Umno.

Muhyiddin berkata :"Kita perlu bersikap terbuka mengenainya dan pandangan Dr Dr Mahathir masih diperlukan, dan beliau boleh menyumbang ke arah memperkukuhkan parti."

Mengenai kenyataan Penasihat Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi yang sasaran beliau untuk membentuk kerajaan pada 16 Sept mungkin tidak tercapai dan kenyataan beliau hari ini bahawa pelan itu kembali berjalan mengikut perancangan, Muhyiddin berkata: "Beliau memang sentiasa (berbuat demikian) "berdolak-dalik" dalam tindakannya yang hanya bertujuan untuk menarik perhatian rakyat."

Malahan dari awal lagi, Muhyiddin berkata beliau tidak percaya dengan perancangan Anwar untuk mengambil alih kerajaan.

Dan sebagai ahli politik yang telah lama berkecimpung dalam politik, katanya beliau tahu bukan menjadi trend di kalangan ahli politik di Malaysia untuk melompat parti secara beramai-ramai.

Muhyiddin berkata Anwar memang terkenal pandai "mengubah keadaan" untuk disesuaikan dengan objektifnya.- 10/9/2008



No comments: