Sunday, October 5, 2008
Jemputan Ke Majlis Rumah Terbuka Eidulfitri
05
Oct
08Jemputan Ke Majlis Rumah Terbuka Eidulfitri
post info
By Anwar Ibrahim
Categories: Aktiviti, Anwar and Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim
MAJLIS RUMAH TERBUKA EIDULFITR DATUK SERI ANWAR IBRAHIM & PIMPINAN KeADILan
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) berbesar hati menjemput saudara-saudari untuk sama-sama memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Eidulfitr pada hari Ahad, 12 Oktober 2008.
Berikut adalah butiran Majlis Rumah Terbuka:
Tarikh: 12 Oktober (Ahad)
Masa: 2–5 petang
Tempat: Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Bagi mengelakkan kesesakan, digalakkan menggunakan pengangkutan awam:
1) Pengguna LRT boleh menggunakan stesen Kampung Baru dan berjalan ke arah ‘Nasi Lemak Antarabangsa’, sebelum melintasi jalan untuk ke KSS. Jarak berjalan kaki kira kira 250 meter.
2) Pengguna Monorail boleh menggunakan stesen Jalan Sultan Ismail (berhampiran Concorde Hotel) berjalan ke arah Kg. Baru - Hotel Renaissance. Jarak berjalan kaki kira 350 meter.
Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim
Alhamdulillah, kita telah berjaya sekali lagi menempuh cabaran berpuasa selama sebulan pada Ramadhan 1429 Hijrah. Berpuasa dalam tahun ini memberi seribu satu makna kepada kita semua, khususnya yang tinggal di Malaysia. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, inflasi yang semakin menggila dan ekonomi dunia yang menghampiri paras koma, ia bagaikan satu latihan bagi kita untuk mempersiapkan diri menghadapi cabaran sebermula Syawal ini.
Anwar Ibrahim Club (AIC) mengharungi cabaran Ramadhan kali ini dengan lebih yakin. Alhamdulillah majlis yang dianjurkan oleh AIC sepanjang bulan samada kecil atau besar telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Istiqamah rakan seperjuangan tampak begitu hebat dengan bantuan tenaga tanpa mengharapkan balasan.
Inshaallah Syawal mendatang akan kita harungi dengan sederhana tapi meriah. Dalam pada kita bergembira,usahlah sesekali kita melupakan mereka yang tidak berkemampuan. Ukhuwah dan silaturrahim dierat demi memaknakan Syawal dengan semangat islah.
Seluruh tenaga editorial laman web AIC bersama Barisan Pengurusan AIC ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!
Semoga rakan sekalian menjadikan sabar, tenang, dan istiqamah yang dilatih sepanjang bulan Ramadhan ini sebagai senjata untuk melawan kemungkaran di masa akan datang.
Allahuakbar!
Allahuakbar!
Allahuakbar!
Wallillahilhamd.
UMAT ISLAM PERLU BERANI TEMPUH CABARAN MASA KINI - Anwar
Ahad, 5 Oktober 2008 • Kategori: Berita Utama
Umat Islam perlulah lebih berani, yakin dan sabar untuk menghadapi segala cabaran yang mendatang dalam era globalisasi kini tegas Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim dalam Perutusan Eidulfitrinya baru-baru ini.
Menurut beliau, bulan Ramadan sentiasa mengajar umat Islam betapa kesabaran menjadi tunjang utama kepada kejayaan yang sebenar dan memperkukuhkan lagi kekuatan roh dan jiwa manusia.
“Ketakwaan yang diadun bersama kesabaran dan kebijaksaan adalah kunci utama untuk mengecapi kejayaan jadi janganlah keyakinan kita digugat tatkala kejayaan sudah hampir,” katanya.
Ramadan, katanya, pastinya mengingatkan kepada kisah Pembukaan Kota Mekah (Fath Mekah).
“Kejayaan Rasulullah s.a.w. yang didokong para sahabat baginda wajar menjadi teladan. Kejayaan tersebut sudah tentu tidak datang sekelip mata. Dua tahun sebelum kejayaan membuka Kota Mekah, satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Hudaibiyyah telah dimeterai di antara Rasulullah s.a.w. dengan wakil kaum Quraisy,” katanya.
Tidak sedikit yang merasa ragu dengan perjanjian tersebut, kata Anwar lagi, namun ternyata ada hikmahnya di sebalik kesediaan dan kesabaran Rasulullah s.a.w. di dalam menerima perjanjian tersebut.
“Rupa-rupanya jalan kemenangan sudah jelas nyata. Selepas sahaja termeterainya Perjanjian Hudaibiyyah, maka turunlah firman Allah s.w.t. yang berbunyi: Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.”
“Ayat ini menghilangkan keraguan umat Islam serta memperkuatkan lagi azam mereka bagi memastikan seruan untuk melakukan usaha dakwah terlaksana,” katanya lagi.
Menyentuh perubahan yang diusahakannya, Anwar berkata, perubahan yang ingin KeADILan laksanakan adalah sesuatu yang benar dan mempunyai tapak yang kukuh bukan hanya bercakap kosong yang berasaskan kebencian dan persengketaan.
“Kita harus menyedari negara Malaysia bukannya satu budaya sahaja. Kita harus memastikan negara ini tidak ditelan api perkauman dan karam dengan sikap taksub melulu. Ingatlah ’siapa yang menyemai angin akan menuai badai’,” ujarnya lagi.
Sehubungan dengan itu, katanya pemerkasaan ekonomi tidak akan berjaya selagi kemajuan dan pembangunan didorong oleh nafsu serta tamak holoba sesetengah pemimpin sekarang.
“Pertumbuhan ekonomi dan kekayaan harus difahami dengan pengertian yang lebih luas. Kekayaan tidak boleh hanya ada di kalangan sesetengah orang sahaja, ianya harus menjadi pendorong untuk membebaskan masyarakat dari penindasan dan kezaliman,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, ekonomi yang dibangunkan bukanlah untuk kepentingan diri sendiri tetapi adalah untuk kepentingan semua pihak.
Anwar juga berkata dalam menyambut Syawal pula kita hendaklah sentiasa menyambutnya dalam kesederhanaan tanpa meminggirkan mereka yang tidak berkemampuan.
“Syawal merupakan bulan kemenangan, bulan memupuk ukhuwah. Kemenangan mengharungi Ramadan dirai dengan jalinan ukhuwah yang utuh sesama ummah.”
“Kemenangan ini bukan sekadar melawan hawa nafsu sepanjang Ramadhan, sebaliknya diterjemahkan jua sebagai kemenangan menentang kezaliman dan menegakkan keadilan,” katanya lagi
Dengan memulakan ucapan Perutusan Eidulfitri kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia amnya mewakili keluarganya dan segenap lapisan kepimpinan serta akar umbi KeADILan, Anwar mengakhiri perutusannya dengan berkata “InsyaAllah kemenangan yang diredhai menjadi milik kita pastinya, sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al Quran, ‘ibarat pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit (Ayat 24, Surah Ibrahim)’.”
September 30th, 2008 at 6:50 pm
Perutusan Hari Raya Eidulfitri 1429 Hijrah oleh Ketua AMK
in: Kenyataan Media
Hebahan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
30 September 2008
Perutusan Hari Raya Eidulfitri 1429 Hijrah oleh Ketua AMK
Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar.
Walillahil hamd.
Alhamdulillah, sebulan Ramadhan telah kita lalui, kini Syawal bakal menjelang.
Para ulama’ mengibaratkan Ramadhan sebagai tarbiyah ruhiyyah, pendidikan jiwa dan rohani agar tunduk kepada Allah SWT dan bebas daripada kekangan nafsu. Pastinya ini akan memperkemaskan lagi proses pembersihan diri dan jiwa, tazkiyah an nafs kerana asas tersebut akan menjamin landasan pembentukan akhlak dan moral peribadi, keluarga dan masyarakat. Andai asas ini lompang, maka penyelewengan dan fasad, yakni kerosakan termasuk dengan menodai faham keadilan dan pembangunan akan berlaku dengan mudah.
Cabaran demi cabaran dihadapi sepanjang Ramadhan dilalui, pastinya sebagai umat yang tawadhuk, Ramadhan sentiasa mengajar kita betapa kesabaran menjadi paksi kepada kejayaan hakiki. Amal ibadat sepanjang Ramadhan janganlah terhenti tatkala Ramadhan melayarkan tirai. Sebagai umat Islam yang bertaqwa, menjadi satu keperluan agar kita terus istiqamah untuk mendepani perjuangan yang bakal mendatang.
Ramadhan yang dilalui telahpun mengajar kita erti kesabaran di dalam menempuh perjuangan yang rencam. Perjuangan ini tidak terhad untuk melawan hawa nafsu semata-mata, sebaliknya ia melampaui sempadan sikap tatkala kita berhadapan dengan pelbagai keadaan yang menyaksikan ketidakadilan berlegar-legar di kalangan masyarakat.
Sempena Syawal yang bakal menjelang, maka wajar bagi kita untuk senantiasa menginsafi keadaan diri, dengan penuh kesederhanaan. Syawal ialah bulan merayakan kemenangan, kemenangan berjuang mengawal hawa nafsu sepanjang Ramadhan. Pastinya ia signifikan dengan keadaan kita di Malaysia, tatkala 51 tahun demokrasi dirobek dengan sentimen perkauman sempit yang nyata bercanggah dengan kehendak Islam.
Kemenangan menuntut perjuangan, perjuangan menuntut kesabaran. Sambutlah Eidulfitri dengan penuh keinsafan, dengan tekad untuk merubah Malaysia ke arah sebuah negara yang menjunjung politik madani. Rapatkanlah ukhuwah dengan jalinan silaturrahim, sebagai melengkapi tarbiyah ruhiyyah Ramadhan.
Mudah-mudahan dengan penghayatan dan tazkirah Ramadhan seusai sebulan yang lepas, iltizam kita lebih menebal untuk melakukan perubahan diri dan ummah melalui tazkiyah dan islah.
Bagi pihak kepimpinan dan akar umbi Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Eidulfitri 1429 Hijrah. Minal Aidil Wal Faiziin.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment